Friday 8 May 2015

NOVEL KERANA AKU UNTUKMU

Duduklah berlindung dalam hatiku selama mana kau mahu
Kenapa seluruh jiwa , Seluruh raga , 
dan seluruh cinta ini hanya untukmu

Beli novel masa expo buku 1 malaysia akhir tahun yang lalu. Seperti biasa nak dapatkan TT penulis terpaksa beratur panjang. Peminat Acik Lana memang ramai kerana mereka yakin dengan karya penulis kesayangan. Saya pernah baca E-novel di blog penulis. Ceritanya menarik yang memiliki 827 muka surat. Jom kupas sedikit review dari saya tentang kisah cinta Zenia dan Darriz.

Mengisahkan tentang Zenia yang tidak pernah dilayan selayaknya sebagai seorang isteri oleh Fakhry, suami yangg dinikahinya demi memenuhi permintaan ibu angkatnya yang juga adalah ibu Fakhry. Fakhry terpaksa menerima Zenia setelah diugut tidak mewarisi harta keluarga sekiranya dia menolak. Namun Fakhry tidak pernah reda dengan perkahwinan tersebut dan berdendam untuk menyakiti Zenia. Zenia yang pada awalnya berusaha menjayakan perkahwinan tersebut akhirnya lelah dan berputus asa setelah dirinya sering dikasari Fakhry. 

Darriz Imdad telah jatuh cinta pandang pertama pada Zenia. Tetapi malangnya, Zenia adalah isteri Fakhry. Jenuh dia cuba untuk menjauh dari Zenia tetapi hubungan mereka semakin rapat. Rupa-rupanya Zenia terperangkap dalam sebuah ikatan yang menyiksakan.

Suatu hari, Zenia cedera parah dipukul Fakhry. Darriz dapat tahu dan terus menghubungi Puan Norizan. Puan Norizan rasa sangat menyesal kerana dia yang telah memaksa Fakhry untuk mengahwini Zenia dengan harapan Zenia dapat merubah Fakhry. Fakhry akhirnya menceraikan Zenia. 

Zenia yang berasa lega lantaran perceraian tersebut, berusaha memulakan hidup baru serta mencari bahagia buat dirinya. Kehadiran Darriz Imdad, bekas bosnya menghulurkan cinta dan membuka jalan bahagia buatnya. Sayangnya cinta Zenia dan Darriz tiada lari daripada dugaan apabila ibu Darriz menentang perhubungan mereka. Darriz dapat memujuk ibunya tetapi si ibunya mengenakan syarat untuk menerima Zenia sebagai menantu. 

Darriz ternyata menghadirkan kebahagiaan buat Zenia dalam kemanisan hidup berumahtangga. Namun kebahagiaan mereka membuat Fakhry nanar sehingga sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan dan menjadikan Zenia sebagai mangsa kebiadapannya.

Fakhry merancang untuk dapatkan Zenia kembali. Dia seperti telah hilang pertimbangan. Zenia di culik dan kesuciannya diragut. Darriz menderita kerana risau akan keberadaan Zenia. Dia berusaha untuk cari dan selamatkan Zenia. Setelah Zenia diselamatkan, Darriz berusaha untuk mengembalikan semangat Zenia. Setelah lama bersabar dan berusaha, Zenia akhirnya dapat mulakan hidup baru disamping suami tercinta, Darriz.

Sinopsis dari kulit novel 
DARRIZ IMDAD... kepulangannya ke tanah air menemukannya dengan seorang wanita anggun, jelita dan cukup mempesona. Hati disentuh perasaan indah yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Perasaan indah bila jatuh cinta… buat kali pertama!

“Fakhry tu siapa Zenia? Abang you?” ~ Darriz Imdad

“No, Fakhry tu suami I.” ~ Zenia

Jiwa terhenyak pedih dengan sebuah kenyataan. Memang tidak ada manusia yang berdosa kerana jatuh cinta, tapi jatuh cinta kepada isteri orang, sudah tentu salah! Lalu perasaan cinta diusir walaupun terlalu sukar mahu menghapus bayangan Zenia daripada hidupnya. Tambahan pula kehadiran Aiman ibarat ‘tali’ yang terus mengikat mereka berdua.

ZENIA... Dua tahun perkahwinan tanpa cinta bersama Fakhry, benar-benar telah mendera jiwa Zenia. Zenia jelak dengan perangai kaki pukul dan sikap suka berfoya-foya Fakhry sehingga sanggup berzina di rumah sendiri. Akhirnya ikatan itu terlerai jua. Namun kehidupan Zenia masih tidak aman kerana Fakhry masih terus mengganggu.

Kehadiran Darriz Imdad yang lebih berani merapati membuatkan dia berasa selamat dan dilindungi. Perasaan cinta mula berbenih, hingga akhirnya mereka disatukan biarpun mendapat tentangan hebat daripada ibu Darriz Imdad sendiri. Namun ribut taufan menjengah kebahagiaan mereka. Semuanya gara-gara Fakhry. Sikap obsesi Fakhry terhadap Zenia akhirnya membawa kepada konflik yang tidak disangka-sangka. Banyak hati yang terluka!

“Have some pride Fakhry, begging someone to like you is so pathetic!” ~ Zenia

“Aku takkan mengalah, aku tetap takkan lepaskan kau macam tu aje. Kau tetap hak aku dan aku akan paksa kau untuk terima aku semula!” ~ Fakhry

Jadi di mana pengakhiran kisah cinta tiga segi ini? Darriz Imdad atau Fakhry yang berjaya memiliki seluruh diri Zenia? Dan mampukah bahagia muncul kembali setelah ada noda hitam yang terpalit?


No comments:

Post a Comment